EMPAT kelab Liga Malaysia (M-League) yang beraksi dalam kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) akan dibenarkan memiliki maksimum 12 pemain asing untuk musim 2024-2025.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menjelaskan bahawa keputusan ini dibuat selepas mendapat persetujuan daripada rakan liga dan kelulusan daripada Lembaga Pengarah MFL, selaras dengan keputusan AFC untuk memperkenalkan peraturan pendaftaran pemain asing tanpa had dalam pertandingan kelab yang dianjurkan oleh badan induk tersebut.
“Pindaan terbaharu ini membolehkan kelab-kelab Super League yang bertanding dalam dua kejohanan kelab terkemuka anjuran AFC dan AFF, iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Terengganu FC, dan Kuala Lumpur City FC, mendaftar maksimum 12 pemain asing berbanding 10 sebelum ini.”
“Peningkatan kuota pemain asing ini akan memberikan peluang kepada kelab M-League yang telah layak ke Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE), Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL 2), dan Kejohanan Kelab ASEAN untuk bersaing di peringkat antarabangsa dengan lebih kompetitif,” kata MFL dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan pindaan ini, kelab-kelab yang terlibat akan mempunyai 34 pemain – 22 pemain tempatan dan 12 pemain asing.
“Namun, tiada perubahan untuk kelab-kelab yang tidak terlibat dalam kejohanan kelab peringkat AFC dan AFF, dan mereka hanya dibenarkan untuk mendaftar sembilan pemain asing mengikut peraturan yang sedia ada,” tambah MFL.