KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) memahat sejarah baharu dalam saingan Piala FA apabila melakar kejuaraan hatrik trofi berkenaan.
Kejayaan itu hadir selepas skuad Harimau Selatan melakar kemenangan besar 5-1 ke atas Selangor pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
Terdahulu, JDT turun sebagai juara bertahan apabila menjulang trofi itu untuk dua tahun berturut-turut pada 2022 dan 2023.
Beraksi di hadapan lebih kurang 80,000 penonton yang hadir memenuhi stadium, Selangor terlebih dahulu bermula garang apabila menguji gawang dikawal Syihan Hazmi menerusi dua percubaan penyerang import dari Chile, Ronnie Fernandez.
Bagaimanapun, JDT terlebih dahulu membuka tirai jaringan hasil sepakan percuma menarik pada minit ke-25 dilakukan Juan Muniz.
JDT terus menggandakan kedudukan apabila tiba giliran Arif Aiman Hanafi yang bijak menanduk bola hantaran Oscar Arribas pada minit ke-42 untuk memastikan skuad Harimau Selatan mendahului 2-0 pada babak pertama.
Bersambung babak kedua, Selangor berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-59 hasil rembatan Alvin Fortes namun tiga minit kemudian Bergson mencetak gol ketiga buat JDT.
Muniz terus menjarakkan kedudukan buat JDT pada minit ke-67, disusuli gol kelima skuad Harimau Selatan Heberty pada minit ke-76.
Ketika penghujung perlawanan, Muniz sekali lagi menemui sentuhan penyudah sekali gus melakar hatrik menerusi sepakan bola mati untuk memastikan JDT meraih kemenangan bergaya.-UTUSAN