KUALA LUMPUR, 5 Nov – UMNO Kedah menggesa pemilik pasukan KDAFC agar lebih berhati-hati dalam memilih rakan kongsi untuk pembiayaan dan operasi pasukan bola sepak Kedah, yang kini berdepan dengan krisis kewangan.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, niat yang ditunjukkan oleh sebuah syarikat dikenali sebagai DSAT perlu dinilai dengan teliti melalui proses due diligence, terutama dari segi kemampuan komersial dan kewangan syarikat tersebut yang berminat untuk bekerjasama.
Menurutnya, UMNO Kedah bimbang bahawa kemelut kewangan dan gaji yang melanda KDAFC kini boleh dijadikan peluang oleh pihak tertentu untuk meraih populariti secara cepat demi tujuan lonjakan pasaran syarikat tersebut.
“UMNO Kedah menasihatkan pihak pengurusan KDAFC, yang terdiri daripada beberapa ahli lembaga pengarah yang dilihat ‘bisu’, agar tidak terburu-buru membuat sebarang keputusan penjualan yang tidak tepat, kerana ia boleh memberi kesan negatif yang berpanjangan terhadap masa depan kelab ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.
Beliau turut menambah bahawa UMNO Kedah masih yakin bahawa campur tangan kerajaan negeri, melalui anak-anak syarikat yang mempunyai struktur kewangan yang kukuh, adalah jalan terbaik. Pelan jangka panjang yang menyakinkan harus diutamakan bagi memastikan kelangsungan pasukan bola sepak negeri Kedah.
“UMNO Kedah percaya model pengurusan seperti yang diterapkan oleh ‘Red Giants FC’ boleh menjadi panduan terbaik dalam model pengurusan komersial sebuah kelab bola sepak,” jelas beliau.
Datuk Shaiful Hazizy juga menyatakan bahawa UMNO Kedah ingin mengetahui hasil daripada pertemuan antara pihak KDAFC dan Menteri Besar, yang sepatutnya membawa khabar gembira buat pemain dan penyokong. Pemulihan kewangan KDAFC adalah amat penting bagi memastikan kelangsungan bola sepak negeri Kedah. – UMNO Online