Pihak Lembaga Multimedia Sarawak (LMS) menggesa orang ramai dan semua entiti agar tidak menggunakan logo dan maskot SUKMA XXI Sarawak 2024 tanpa kebenaran atau keizinan mereka dengan segera.
Pengurus besar LMS, Datuk Dr Anderson Tiong Ing Heng menyatakan bahawa logo dan maskot tersebut telah didaftarkan di bawah Seksyen 26B Akta Hak Cipta 1987 dan berdasarkan Seksyen 10(1)(i) Ordnan Multimedia Sarawak 2017, mereka (LMS) telah didaftarkan sebagai pemilik yang sah.
“Oleh itu, sebarang penggunaan tidak dibenarkan logo dan maskot SUKMA XXI Sarawak 2024 merupakan suatu kesalahan hak cipta di bawah Akta Hak Cipta 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menyatakan bahawa penggunaan logo dan maskot tanpa sebarang kebenaran bertulis atau keizinan dari mereka termasuk tetapi tidak terhad kepada menghasilkan dalam apa-apa bentuk material, persembahan, tayangan atau permainan atau pengedaran kepada orang awam;
Membuat untuk dijual atau disewakan apa-apa salinan yang melanggar; menjual, menyewa atau dengan cara perdagangan, memaparkan atau menawarkan untuk dijual atau disewakan apa-apa salinan yang melanggar; mengedarkan salinan yang melanggar; memiliki, selain untuk kegunaan peribadi dan domestiknya, sebarang salinan yang melanggar;
Memaparkan kepada orang awam apa-apa salinan yang melanggar dengan cara perdagangan; dan membuat atau memiliki apa-apa alat yang digunakan atau yang dimaksudkan untuk digunakan untuk tujuan membuat salinan yang melanggar.
Tiong menyatakan sesiapa atau mana-mana entiti yang didapati dengan sengaja melakukan tindakan-tindakan yang disebutkan tersebut akan bertanggungjawab secara langsung dan/atau secara vicariously atas pelanggaran hak cipta dan LMS mengambil pelanggaran ini dengan serius untuk melindungi hak cipta intelektualnya.
“Lembaga ini mengekalkan haknya untuk menuntut kaedah undang-undang di bawah undang-undang sivil dan jenayah tanpa rujukan dan/atau notis lanjut,” tambah beliau.
Source link