KUALA LUMPUR : Membina kerjaya sebagai seorang penyanyi kini, bekas isteri pengarah terkenal Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar mengakui tidak kisah andai ada pihak tidak senang dengan pilihannya itu.

Malah, Ira atau nama sebenarnya, Faghirah Fatini Kazaruddin berkata, dia juga tidak kisah dilemparkan dengan kecaman memandangkan sudah biasa dengan situasi seperti itu sebelum ini.

“Tidak mengapa saya dah biasa kena kecam. Saya tak kisah. Sebenarnya bagi saya kecaman itu perkara biasa sebab netizen hanya baca apa yang ada di media sosial,”katanya.

Ira berkata demikian ketika ditemui di majlis Hi Tea With Anthon’s Leather di One World Hotel, semalam.

Bagaimanapun, kata Ira, dia tidak senang hati apabila setiap kali dihentam netizen, bapanya, Kazar Saisi turut menjadi mangsa kecaman mereka.

“Saya tak kisah orang nak cakap apa fasal saya tapi bila orang kutuk ayah, memang saya sangat terkesan. Saya sedih tapi Alhamdulillah ayah pun dah okey,”ujarnya.

Dalam pada itu, Ira yang bakal muncul dengan single sulung berjudul Tak Kisah bagaimanapun mengakui menerima apa sahaja komen daripada orang ramai mengenai nyanyiannya.

“Insya-Allah bulan depan akan rakamkan muzik video. Lagu itu rancak dan dah siap rekod pun. Sebagaimana tajuk lagu itu, saya memang tak kisah andai orang nak cakap apa pun. Saya dah bersedia,”katanya.





Source link

Leave a Reply