KOTA BHARU: Pas Kelantan melihat Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dari DAP tidak perlu mencampuri urusan umat Islam di negara ini susulan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilapor mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Ketua Penerangannya, Mohd. Asri Mat Daud berkata, wakil rakyat itu sepatutnya memahami sensitiviti yang melibatkan beberapa urusan umat Islam.

“Sejujurnya, Pas Kelantan kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen DAP kerana telah memasuki ruang kuasa Jakim.

“Jakim hanya bertindak dalam ruang lingkup melibatkan kepentingan umat Islam sahaja. Jadi kenyataan bahawa pensijilan status halal sebagai memalukan negara adalah tidak berasas dan sangat melukakan hati umat Islam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri itu memberitahu, campur tangan dan komen berbaur negatif oleh pimpinan bukan Islam dalam urusan melibatkan urusan agama umat Islam sangat tidak bertanggungjawab serta mendukacitakan.

Katanya, cadangan Jakim dilihat mampu menambah keyakinan umat Islam dalam menentukan pemilihan makanan halal.

Ujarnya, pada masa sama ia tidak lagi akan menimbulkan pelbagai polemik dalam masyarakat.

“Cadangan yang dibuat Jakim adalah sesuai dan tepat pada masanya, lebih-lebih lagi kita berhadapan dengan pengusaha-pengusaha restoran dan syarikat pengeluar bahan proses mentah yang mengambil mudah tentang status halal sesuatu makanan atau bahan masakan,” tegasnya.

Sebelum ini, Jakim dilapor mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Bagaimanapun, Teresa kemudian dilapor menyatakan cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Teresa berkata, langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply