Pelancaran iPhone SE generasi akan datang, model iPhone bajet Apple, mungkin akan tiba dalam beberapa bulan lagi.
Menurut nota penyelidikan yang dilaporkan oleh MacRumors, penganalisis Barclays, Tom O’Malley dan pasukannya mengesahkan bahawa versi keempat iPhone SE akan dilancarkan pada akhir suku pertama tahun depan, dijangka pada bulan Mac. Model iPhone SE generasi ketiga dilancarkan pada tahun 2022.
O’Malley menyebut bahawa versi baharu ini akan dilengkapi modem 5G yang direka khusus oleh Apple. Spesifikasi lain yang diperkatakan termasuk reka bentuk yang mirip dengan iPhone 14, paparan OLED 6.1 inci, cip A-series yang sama dengan yang terdapat pada iPhone 16, port USB-C, dan RAM 8GB untuk menyokong Apple Intelligence. Selain itu, peranti ini mungkin akan menggantikan Touch ID dengan Face ID.
Apple tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk komen.
Semenjak dulu, Apple terus menaik taraf siri iPhone SE dengan ciri-ciri yang lebih canggih. Versi terkini yang dijangka berharga di bawah RM2,000 ini mungkin akan membawa kemajuan besar dengan penyertaan modem 5G buatan sendiri.
Apple dikatakan telah bekerja pada modem ini selama bertahun-tahun untuk mengurangkan kebergantungan terhadap Qualcomm. Ini juga berlaku setelah sejarah ketegangan antara kedua-dua syarikat, termasuk saman yang difailkan Apple terhadap Qualcomm berkenaan amalan anti-persaingan dan RM4.6 billion dalam bayaran royalti yang belum dibayar. Walaupun Apple menyelesaikan saman tersebut, mereka baru-baru ini melanjutkan perjanjian dengan Qualcomm untuk modem 5G sehingga tahun 2026.
Selain SE, penganalisis lain juga menyatakan bahawa Apple merancang untuk memperkenalkan modem 5G ini dalam barisan iPhone premium mereka, bermula dengan model ultra-thin yang dikhabarkan dipanggil iPhone 17 Air.