Bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin kembali menyarung jersi Harimau Malaya untuk Kejohanan 7-Sebelah Asia.
Indra bakal beraksi bersama Amer Saidin, Abdul Manaf Mamat, Fandi Othman, Abdul Latif Suhaimi dan Razman Roslan selaku kapten.
Selain beberapa bekas tonggak Harimau Malaya, jurulatih Malaysia, Sulaiman Hussin turut memanggil Fazli Zulkifli, Adib Aizuddin, Kisshaen Ananthan, Wan Mohammad Faiz Wan Sulaiman, Ahmad Azriddin Rosli, Faiz Mazlan, Ahmad Azim Mohammad, Navin Das Arokiadass dan Rafie Mat Yaacob.
Sementara Muhammad Nor Haziq Mohd Haris dan Izzat Abd Rahim pula menggalas peranan sebagai penjaga gol pasukan.
Kesemua pemain ini dipilih Sulaiman menerusi beberapa sesi latihan percubaan yang diadakan sejak beberapa minggu yang lalu.
Indra yang kini beraksi untuk PT Athletic menyifatkan penyertaannya dalam skuad bola sepak 7s Malaysia sebagai sesuatu yang menarik.
Ini kerana inilah peluang bersua kembali dengan rakan-rakan lama yang pernah beraksi bersama Harimau Malaya.
“Saya rasa ini satu perkara yang menariklah. Ada beberapa pemain yang bermain di liga dan kami dapat bersama.
“Sedikit sebanyak mengubat rindu bermain bersama dan memberi peluang kepada kami bekas-bekas pemain bermain di kejohanan yang besar ini,” katanya kepada Nadi Arena.
Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama-sama India, Filipina dan Hong Kong dalam satu majlis undian yang diadakan pada 11 September lalu.
Malaysia akan membuka kempen kejohanan dengan menentang India pada 10 Oktober, jam 6.00 petang disusuli dengan aksi menentang Filipina selang empat jam kemudian.
Pada 11 Oktober, Malaysia akan turut menentang Hong Kong pada jam 4.30 petang untuk aksi terakhir Kumpulan B.