JAKARTA, 29 Okt: Tentera Nasional Indonesia (TNI) menghantar Pasukan Petugas Tindak Balas Bencana ke Filipina untuk membantu memulihkan kawasan yang dilanda ribut tropika Kristine (Trami) di wilayah Bicol di Filipina.
Seramai 24 anggota dan dua helikopter dikerahkan dalam operasi itu yang dicadang diadakan dalam tempoh 14 hari.
Menurut Komander Pasukan Petugas, Kolonel Asep Wahyu Wijaya yang mengetuai operasi itu, pihaknya akan membantu dalam operasi pemindahan, pengagihan bantuan logistik, dan menyokong pemulihan kawasan terjejas.
“Kami membawa pasukan disokong dua helikopter bagi menyokong kelancaran beberapa operasi pengurusan bencana disana di sana,” katanya.
Beliau mendedahkan bahawa operasi akan memberi tumpuan kepada pemindahan mangsa, memulihkan infrastruktur dan mengagihkan logistik di kawasan yang dilanda ribut.
Pelan penerbangan helikopter itu melibatkan beberapa peringkat, bermula dari pangkalan udara di Bogor, Jawa Barat, dan Semarang, Jawa Tengah.
Perhentian awal akan dibuat daripada Banjarmasin dan Palu, diikuti Manado dan Davao, sebelum tiba di Legazpi, Filipina pada hari ketiga.
Pihak berkuasa Filipina melaporkan pada hari Isnin bahawa sekurang-kurangnya 97 orang maut akibat banjir kilat di beberapa wilayah selepas Ribut Tropika Trami membawa hujan lebat Rabu lalu. -TVS