TAWAU: Dua beranak ditemukan mati lemas di dalam sebuah kolam di hadapan rumah mereka di Kampung Nasib Kita, di sini semalam.
Wanita lingkungan 40-an dan anak lelakinya yang berusia tujuh tahun itu ditemukan oleh penduduk kampung dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan dua mangsa lemas itu daripada orang awam.
Susulan laporan tersebut, katanya, sepasukan anggota polis ke lokasi kejadian dan mendapati terdapat dua mangsa ditemukan mati lemas.
“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tawau untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Jasmin, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan sama ada kes tersebut adalah kes bunuh atau mati mengejut (SDR).
Jelasnya, kenyataan berhubung hasil siasatan akan dikeluarkan selepas proses bedah siasat selesai. – UTUSAN