HONOR Malaysia baru je umumkan pelancaran rasmi telefon pintar terbaharu mereka, HONOR X9c 5G, yang akan berlangsung pada 5 November 2024. Acara pelancaran akan disiarkan secara langsung di Facebook pada jam 7 malam, di mana mereka akan memperkenalkan spesifikasi dan harga peranti ini.
HONOR X9c 5G Akan Dilancarkan Tidak Lama Lagi
X9c 5G hadir dengan enam penambahbaikan utama berbanding pendahulunya, X9b 5G. Yang pertama adalah reka bentuk Ultra-tough Triple Defense dengan “gaya kurva Bézier” dan kaca tempered yang mampu tahan jatuh sehingga 2 meter, lebih baik 25% dari X9b yang hanya 1.6 meter. Telefon ini juga dikatakan sebagai yang pertama mendapat Pensijilan Kebolehpercayaan Komprehensif Lima Bintang dari SGS.
Bateri pun sudah diperbesarkan melebihi 5,800mAh dari X9b, walaupun nombor tepat masih belum diumumkan. Mereka memberi sedikit petunjuk dengan menyebut “bateri silikon-karbon terbesar dalam industri,” dan kemampuan pengecasan pantas juga akan diperbaiki. Selain itu, HONOR turut memperkenalkan paparan yang ditingkatkan, kamera utama 108MP dengan OIS, speaker yang 300% lebih kuat, dan ciri Magic AI yang baru untuk kali pertama dalam siri X.
Untuk meraikan pelancaran yang akan datang, HONOR Malaysia tawarkan “Early Bird Special” untuk HONOR X9c 5G, di mana pelanggan boleh tempah telefon ini dengan deposit RM9 sehingga jam 3 petang pada 4 November 2024. Pengguna awal akan menerima pakej hadiah bernilai RM1,486, termasuk Penggantian Depan & Belakang selama 365 hari, Polisi Penggantian Satu-ke-Satu selama 180 hari, dan Jaminan Bateri selama 36 bulan.
Pokdepinion: Harap-harap harga terbaik – spesifikasi nampak janji yang menarik setakat ini!