SIBU: Setelah cemerlang meraih pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2024, beregu lelaki Selangor Lok Hong Quan-Muhammad Faiq Haziq Masawi akan mengalih tumpuan mereka kepada kejohanan lebih besar iaitu Masters Indonesia 2024 berlangsung pada Ogos 27 hingga Sept 1 ini.

Muhammad Faiq, 18, berkata sebagai persediaan mereka akan memperkemaskan lagi corak permainan selain mengurangkan kesilapan mudah yang boleh memberikan mata percuma kepada lawan.

“Pada perlawanan akhir, banyak kesilapan sendiri hingga menyebabkan kami tewas pada set pertama. Selepas set kedua baru dapat bermain dengan baik,” katanya yang digandingkan dengan Hong Quan sejak enam tahun lepas.

Pada aksi akhir semalam, gandingan Hong Quan-Muhammad Faiq menewaskan Goh Boon Zhe-Rayner Beh Chun Meng dari Pulau Pinang 19-21, 21-19, 21-15 pada perlawanan penentuan emas.

Sementara itu, beregu wanita Johor Dania Sofea Zaidi-Low Zi Yu yang langsung tidak pernah digandingkan, masih tidak percaya mereka mampu melangkah ke final dan memenangi pingat emas di SUKMA 2024 kali ini.

“Menang tidak dijangka sebab kita bergandingan buat kali pertama, tambahan kami masih muda,” kata Dania yang berusia 17 tahun, manakalanya Zi Wu, 14.



Source link

Leave a Reply