NEW DELHI: Perdana Menteri India, Narendra Modi didapati sering memberi ucapan yang menghina umat Islam dan ia bukan sesuatu yang mengejutkan jika diimbas Pilihan Raya India sejak sedekad lalu. 

Malah, Modi dengan konsisten menggunakan taktik kempen lapuk tersebut sejak terpilih menjadi wakil rayat di negeri Gujarat. 

Pakar Politik India, Universiti Georgetown di Washington, Prof. Irfan Nooruddin berkata, Modi memang sering menggunakan ucapan berbaur kebencian anti-Islam sebagai kaedah berkempen. 

Malah, katanya, parti yang diwakilinya, Parti Bharatiya Janata (BJP) dengan bangga mengisytiharkan mereka sebagai parti nasionalisme Hindu. 

“Mereka lantang bersuara, keinginan membuak-buak serta cita-cita untuk mencipta semula India sebagai negara Hindu. 

“Suruhanjaya Pilihan Raya sebenarnya boleh menggesa permohonan maaf daripada calon bertanding atau menggugurkan kelayakan bertanding. 

“Namun, tiada siapa dapat menjangka apakah tindakan yang akan dilakukan terhadap Modi,” katanya lapor AFP. 

Semasa kempen pilihan raya di Wilayah Rajasthan, Modi melabel masyarakat Islam di negara itu sebagai ‘penceroboh’ selain berkongsi pelbagai kiasan anti-Islam yang disambut dengan sorakan penyokongnya.

Modi mendakwa pihak pembangkang sebelum ini mengatakan penganut Islam mempunyai hak pertama ke atas kekayaan negara berkenaan.

Beliau melemparkan tuduhan jika pihak pembangkang menang, hasil negara tersebut akan diagihkan kepada mereka yang mempunyai lebih ramai anak yang dikaitkan dengan umat Islam. 

Susulan ucapan itu, lebih 17,000 orang menandatangani petisyen kepada Suruhanjaya Pilihan Raya India menuntut tindakan terhadap Modi kerana ucapan yang jelas melanggar kelaku moral. 

Petisyen sama turut difailkan oleh Parti Kongres. 

Pilihan Raya di India mempunyai tujuh fasa kerana mempunyai satu bilion pengundi yang layak. 

Selain faktor logistik terutamanya pusat mengundi di kawasan luar bandar dan lokasi terpencil, proses demokrasi itu juga memerlukan banyak masa di negara paling ramai penduduk di dunia itu. -AFP 





Source link

Leave a Reply