BEIRUT: Kumpulan Hezbollah Lebanon yang disokong Iran melepaskan puluhan roket Katyusha ke arah kedudukan artileri Israel sebagai tindak balas terhadap serangan rejim Zionis di selatan negara itu, sekali gus meningkatkan ketegangan di rantau Asia Barat.
Tentera Israel berkata, kira-kira 40 pelancaran dikenal pasti melintasi Tel Aviv dari wilayah Lebanon dengan beberapa daripadanya berjaya dipintas.
“Tiada kecederaan dilaporkan. Sebelum ini kami memintas dua dron serangan Hezbollah yang menyeberang sempadan dari Lebanon,” katanya.
Agensi berita nasional Lebanon melaporkan, serangan dan bedilan tentera Israel ke atas beberapa kampung dan kediaman berhampiran sempadannya menyebabkan sekurang-kurangnya 363 orang maut, kebanyakannya pejuang Hezbollah termasuk 70 penduduk awam.
Di Israel , tentera rejim Zionis berkata, 10 anggotanya dan lapan orang awam terbunuh sejak serangan memuncak awal minggu ini.
Dalam pada itu, beberapa negara termasuk India, Perancis, Austria, Russia, Poland dan United Kingdom (UK) menasihatkan rakyatnya agar tidak melakukan perjalanan ke Iran, Israel dan wilayah Palestin yang diduduki berikutan ketegangan di rantau itu.
Syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa bersama beberapa lagi firma di Eropah turut mengumumkan menghentikan penggunaan ruang udara Iran serta penerbangan menuju atau dari Tehran.
Asia Barat kini berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap peningkatan keganasan selepas Iran memberi amaran akan bertindak balas terhadap serangan Israel ke atas kedutaan Iran di Syria yang mengorbankan dua jeneral Pengawal Revolusi Iran (IRG) awal bulan ini.
Menurut laporan oleh Wall Street Journal memetik perisikan Amerika Syarikat (AS), Tehran dijangka menyerang Israel dalam tempoh terdekat kurang 48 jam sementara Jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby menyifatkan ancaman dari Iran adalah nyata dan mungkin boleh berlaku.
Tentera Israel berkata, pihaknya tidak mengeluarkan arahan baharu kepada orang awam, tetapi meminta penduduk untuk terus berwaspada.-AFP