SEREMBAN: Pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio, mengharapkan pasukannya terus berdaya saing dan mengekalkan rentak kemenangan, termasuk ketika bertemu kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai FC dalam Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) pada hari Selasa.
Beliau mengakui bahawa lawan mereka mungkin lebih dinamik dan mencabar, tetapi berharap pasukan JDT sentiasa fokus dan memberikan tentangan hebat dalam perlawanan itu. “Liga Juara-Juara (ACLE) adalah berbeza, lebih dinamik dan intens. Kita perlu memberi fokus pada setiap perlawanan. Kami ingin berdaya saing dan sekarang JDT berada dalam keadaan kompetitif. Jadi, kita perlu terus menang dan fokus pada perlawanan seterusnya,” katanya.
Dia juga menyatakan bahawa semua pemain berada dalam keadaan baik dan sedia untuk beraksi dalam liga tempatan serta pertandingan antarabangsa. “Sekarang kita perlu rehatkan pemain, biarkan mereka pulih dan fokus pada perlawanan seterusnya. Kita mesti menjadi pasukan yang proaktif dan saya gembira dengan skuad saya,” tambahnya.
Beliau bercakap selepas perlawanan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi, di mana Harimau Selatan mencatatkan kemenangan mudah 4-0 ke atas NSFC. Mengulas tentang perlawanan tersebut, Hector menyifatkan perlawanan itu sebagai sengit walaupun berdepan pasukan yang berada di kedudukan bawah liga. Namun, pemain JDT menunjukkan prestasi baik dan memanfaatkan setiap peluang yang ada.
Setakat ini, JDT mendahului Liga Super dengan selesa, mengumpul 37 mata selepas 13 perlawanan, manakala NSFC terperosok di tangga bawah dengan hanya 6 mata. Sementara itu, ketua jurulatih NSFC, K. Nanthakumar, mengakui beliau tetap berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya meskipun tewas di halaman sendiri.
“Kami tahu JDT adalah pasukan kuat dalam Liga Malaysia. Kami memiliki beberapa peluang untuk menjaringkan gol, dan jika dapat menukarkannya, mungkin keputusan perlawanan berbeza. Namun, saya masih berpuas hati dengan prestasi setiap pemain,” ujarnya.
Beliau turut menambah, “Kami akan berusaha untuk menang setiap perlawanan. Selepas ini, kami akan berdepan dengan pasukan kuat seperti Selangor dan kami akan cuba untuk menang.”