PASIR GUDANG – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hasan Karim tidak akan membuat rayuan terhadap sebarang keputusan yang diambil Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR), esok susulan kritikannya terhadap kerajaan baru-baru ini.
Beliau terbuka dan sedia menerima sebarang keputusan tersebut termasuk jika digantung atau dipecat keahlian parti.
“Saya dipanggil dalam sesi pendengaran atau perbicaraan dengan lembaga disiplin parti Khamis lalu namun belum ada keputusan. Mereka hanya memberikan pandangan lembaga disiplin parti.
“Selepas ini mereka akan rujuk Biro Politik PKR dan lepas itu kepada Majlis Pimpinan PKR yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Keputusan akan diputuskan esok” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja aduan penjaja di hadapan Sekolah Agama Taman Scientex di sini hari ini.
Hassan sebelum ini dihadapkan ke lembaga disiplin parti berkenaan selepas mengkritik kerajaan dalam isu pelantikan syarikat U Mobile sebagai pengendali rangakaian 5G kedua.
Hassan akan didakwa berhubung kenyataannya menghina Yang di-Pertuan Agong yang memiliki saham terbesar dalam U Mobile di samping mengkritik Perdana Menteri.
Difahamkan PKR beranggapan Hassan merosakkan imej parti tersebut apabila membuat kenyataan secara kritikal secara terbuka.
Mengulas lanjut, Hassan akan menghormati sebarang keputusan lembaga disiplin parti itu dan tidak mahu memberi kenyataan berlebihan yang boleh mempengaruhi ketetapan itu nanti.
Beliau setakat ini berpuas hati dengan lembaga disiplin parti yang bertindak profesional termasuk menghantar surat tunjuk sebab terlebih dahulu dan memberinya tempoh sehingga tujuh hari untuk memberi jawapan.
“Saya menjawab surat itu dan dipanggil untuk dibicara dan mereka dengar (penjelasan), daripada segi itu saya pujilah parti ini, dia buat apa yang dia cakap dalam soal ini,” katanya.- MalaysiaGazette