SEGAMAT: Di sebalik bencana banjir yang melanda, penduduk yang terkesan tidak melepaskan peluang menjala ikan di Sungai Segamat di Kampung Seberang Baru Badak, di sini sebagai juadah di pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut Raja Shahrin Tengku Ismail, 57, sejak pukul 6 pagi dia dan menantunya, Mohd. Firdaus Ramli, 27, mula menjaring dan hasil tangkapan akan diserahkan kepada jawatankuasa yang menyediakan masakan.

“Saya memang suka menjaring ikan di sungai. Jadi sewaktu musim banjir ini, hasil tangkapan bukan untuk diri sendiri tetapi dikongsi dengan rakan dan jiran yang berada di PPS. Apabila musim tengkujuh begini, ikan sungai memang mudah diperoleh. Saya juga mangsa banjir yang tinggal di PPS. Jadi, bolehlah kami buat juadah di sini.

“Ikan sungai yang saya dapat setakat ini antaranya patin, baung, dan lampam dengan anggaran berat semua ikan hampir 10 kilogram,” katanya ketika ditemui di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak di sini, hari ini.

Raja Shahrin yang merupakan nelayan air tawar menjangkakan banjir yang melanda di Segamat kali ini bertambah buruk kerana hujan lebat berterusan sejak semalam.

Sementara itu, Habibah Yahya, 28, tidak menyangka hujan berterusan sejak Sabtu lalu, mengakibatkan rumahnya dinaiki air sehingga paras betis, namun sempat menyelamatkan sebahagian peralatan elektrik.

“Pada masa ini sudah dua malam saya tinggal di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak di sini. Sesekali balik ke rumah kerana ada jiran maklumkan barangan seperti pakaian di ampaian di luar rumah sudah dihanyutkan banjir.

“Sebahagian pakaian dalam almari sudah diletakkan di bawah rak bawah bumbung dan saya hanya sempat mencapai beberapa helai kain batik, telekung dan baju untuk dibawa ke PPS,” kongsinya.

Tinjauan mendapati laluan ke Kampung Seberang Batu Badak di sini dari bandar Segamat, mula dinaiki air.  – UTUSAN





Source link

Leave a Reply