KUALA LUMPUR: Pasukan Harimau Malaya telah meningkat dua tangga ke kedudukan 132 dunia berdasarkan ranking FIFA terkini yang diumumkan hari ini.
Menurut laman web www.fifa.com, pasukan kendalian jurulatih Pau Marti Vicente ini telah mengumpul 1,117.64 mata untuk naik dari kedudukan 134 yang disandang sejak 18 Julai.
Pasukan bola sepak Malaysia mencapai kejayaan ini setelah menamatkan penantian selama 11 tahun dengan dinobatkan sebagai juara dalam Kejohanan Merdeka 2024 yang juga disertai oleh juara bertahan Tajikistan, Lebanon dan Filipina di Stadium Nasional Bukit Jalil dari 2 hingga 10 September.
Walau bagaimanapun, Malaysia masih jauh ketinggalan di belakang negara-negara Asia Tenggara lain seperti Vietnam (kedudukan dunia 116) dan Thailand (kedudukan dunia 100).
Bagi zon Asia, lima pasukan teratas adalah Jepun (kedudukan dunia 16), diikuti oleh Iran (19), Korea Selatan (23), Australia (25) dan Arab Saudi (56).
Sementara itu, pemenang Piala Dunia 2022, Argentina kekal di tempat pertama dunia, diikuti oleh Perancis (kedua), Sepanyol (ketiga), England (keempat) dan Brazil (kelima).