Harimau Malaya bakal berhadapan cabaran pasukan ke-95 dunia, New Zealand tanpa kelibat kapten, Dion Cools.
Sebelum ini, nama pemain pertahanan berusia 28 tahun itu tersenarai dalam senarai 27 pemain yang dipanggil pengendali skuad negara, Pau Marti Vicente.
Ramai penyokong negara tidak sabar melihat kelibat Cools. Ini disebabkan beliau memberi impak besar kepada kelab gergasi Thailand, Buriram United.
Selain membantu Thunder Castle menerajui takhta Thai League 1 dengan kelebihan lima mata, Cools turut membantu Buriram kekal tanpa kalah dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Ini termasuk kejayaan mengalahkan juara Piala AFC musim 2023/24, Central Coast Mariners pada 1 Oktober lalu. Lebih manis, Cools turut mencipta satu bantuan gol dalam perlawanan berkenaan.
Walau bagaimanapun, bekas bek tengah Club Brugge itu terpaksa menarik diri daripada menyertai rombongan Harimau Malaya ke New Zealand. Ini disebabkan Cools ada urusan keluarga.
Pau Marti berharap dapat memanfaatkan khidmat beliau dalam kalendar antarabangsa FIFA yang seterusnya pada November ini.
“Bagaimanapun, pasukan akan berlepas dengan hanya 26 pemain kerana kapten, Dion Cools terpaksa menarik diri daripada perjalanan ini kerana urusan keluarga.
“Kami mendoakan yang terbaik untuknya dan berharap Cools dapat kembali pada jendela antarabangsa FIFA seterusnya, November depan,” katanya dalam satu kenyataan.
Malaysia bakal berdepan New Zealand pada 14 Oktober ini. Dan sebagai persiapan menentang All Whites, Harimau Malaya bakal mengatur satu aksi persahabatan dengan sebuah kelab terkemuka negara itu pada 11 Oktober.