SEJAK permulaan Sukan Paralimpik Paris 2024 minggu lepas, kontinjen Malaysia terpaksa mengharungi jadual yang padat, dengan atlet-atlet luar biasa mereka bertanding menentang atlet terbaik dunia demi mengharumkan nama negara.

Namun, esok dijangka menjadi hari yang lebih tenang bagi kontinjen negara, dengan perenang para Muhammad Nur Syaiful Zulkafli menjadi satu-satunya wakil negara dalam acara 50 meter gaya bebas S5 (kecacatan fizikal) yang akan berlangsung di Arena La Défense Paris.

Ini juga akan menjadi acara terakhir Muhammad Nur Syaiful, setelah menyertai tiga acara lain sebelum ini, iaitu 200m gaya bebas S5, 100m gaya bebas S5 dan 100m kuak dada SB4 (kecacatan fizikal).

Dari tiga acara tersebut, perenang asal Sarawak itu berjaya mara ke dua pusingan akhir, mencatatkan tempat keenam di dalam 100m gaya bebas S5 dengan masa 1 minit dan 16.60 saat (s) serta di dalam 100m kuak dada SB4 dengan masa 1:46.71s.

Diharapkan kejayaannya untuk melayakkan diri ke dua pusingan akhir ini dapat memberi semangat kepada atlet berusia 29 tahun itu untuk berusaha mara ke pusingan akhir dalam 50m gaya bebas, di mana beliau akan bersaing dalam Heat 2, dengan lapan perenang terpantas dari dua heat layak ke pusingan akhir.

Ini adalah kawasan yang tidak asing bagi Muhammad Nur Syaiful, di mana beliau telah layak ke pusingan akhir 50m gaya bebas S5 dalam penampilan Paralimpiknya yang pertama di Tokyo 2020, di mana beliau menamatkan perlumbaan di tempat kelima dengan masa 32.82s.

Walau bagaimanapun, walaupun beliau layak ke pusingan akhir esok, beliau tidak dijangka bersaing untuk kedudukan podium kerana beliau kini menduduki ranking kelapan terbaik di dunia dengan masa 34.58s yang dicatatkan di satu kejohanan di Limoges, Perancis pada bulan Jun.

Sementara itu, nasib tidak begitu baik bagi pemanah para negara, S. Suresh, apabila beliau tewas 6-2 kepada jaguh Iran, Mohammad Reza Arab Ameri, dan tersingkir di pusingan 1/8 acara recurve lelaki di Invalides.

Namun, ia tetap merupakan peningkatan berbanding penampilannya di Tokyo 2020, di mana beliau tersingkir pada pusingan 1/16 setelah tewas 6-2 kepada wakil Jawatankuasa Paralimpik Rusia, Bato Tsydendorzhiev.

Pelumba basikal para negara, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin, pula menampilkan prestasi yang bertenaga apabila menamatkan perlumbaan di tangga kelima daripada 10 pelumba dalam kategori ujian masa individu C1 (kecacatan fizikal) hari ini.

Walaupun beliau tidak meraih pingat, masa 22 minit dan 27.91 saat (s) di Clichy-sous-Bois menjadikannya pelumba terbaik dari Asia, mengatasi Li Zhangyu dari China, yang baru-baru ini menang emas dalam acara 3,000m individu C1 dan ujian masa 1,000m C1-3 (kecacatan fizikal) di trek.

Zhangyu hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan dalam ujian masa individu C1 dengan masa 24:50.93s hari ini.



Source link

Leave a Reply