PELUMBA berbakat negara, Hakim Danish Ramli mengotakan janjinya apabila menaiki podium tempat ketiga pada perlumbaan penutup tirai Red Bull Rookies Cup di Misano, Itali biarpun bergelut untuk mengejar kelompok hadapan selepas bermula di petak ke-11.

Pelumba berusia 17 tahun itu ternyata tidak berputus asa apabila mengejar setiap pelumba hadapannya untuk mencerahkan peluangnya berada di kedudukan podium sekali lagi.

Pengalaman Hakim Danish sebelum ini membantunya mengawal tekanan sebelum berjaya meloloskan diri dengan berada di kelompok hadapan biarpun saingan tersebut tampil dengan aksi cukup mendebarkan terutama pada penghujung perlumbaan.

Bagaimanapun, Hakim Danish bijak mencari ruang dan menempatkan dirinya berada kedudukan podium tempat ketiga dan pelumba Sepanyol, Brian Uriarte menjuarai perlumbaan tersebut diikuti Valentin Perrone di tempat kedua.

“Perlumbaan hari ini sangat sukar tetapi pada setiap sesi saya cuba memahami lebih mendalam terutama untuk terus memecut laju. Saya bermula sedikit kebelakang pada perlumbaan pertama tetapi saya berjaya mengejar seorang demi seorang pelumba hadapan saya.

“Saya kekal tenang dan cuba mencipta kemenangan sekali lagi tetapi saya akui sangat sukar untuk memenanginya. Tetapi tidak mengapa saya berjaya mencapai podium pada hari ini dan saya akan cuba sekali lagi esok. Doakan saya,” kata Hakim Danish sebaik berakhir Perlumbaan 1 sebentar tadi.

HAKIM Danish mempamerkan aksi terbaik di Misano selepas menaiki podium tempat ketiga pada Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2024. (Foto: ZK Racing)

Hasil keputusan tersebut, Hakim Danish yang sebelum ini melakar kemenangan sulung aksi Pusingan 6 di Aragon minggu lalu berada di kedudukan keenam keseluruhan dan ketinggalan 84 mata dengan Uriarte.

Bagaimanapun, Juara Asia Talent Cup 2022 itu mengintai untuk berada kedudukan ketiga keseluruhan bagi mencerahkan harapannya untuk melangkah ke kelas Moto3 tahun depan tetapi langkah tersebut tampak sukar apabila Hakim Danish ketika ini ketinggalan 47 mata di belakang Perrone. -KOSMO! ONLINE

 





Source link

Leave a Reply