Guru kutuk murid OKU dipanggil beri penjelasan


KOTA KINABALU: Guru yang didakwa mengutuk pelajar orang kurang upaya (OKU) dalam ruangan sembang akan dipanggil bagi memberi penjelasan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah.

Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Raisin Saidin berkata, pihaknya telah melaksanakan siasatan dan guru terlibat akan dipanggil bagi memberi penjelasan.

Menurutnya, pihaknya memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan guru yang bercanggah dengan etika profesion perguruan.

“Sebarang komen sama ada menerusi Tiktok atau laman media sosial lain yang boleh menjatuhkan maruah murid tidak dibenarkan.

“Murid seharusnya disayangi, lebih-lebih lagi murid berkeperluan khas,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, tular dalam laman Facebook, ayah kepada murid autistik melahirkan kekecewaan dengan sikap guru pendidikan khas yang mengutuk anaknya dalam ruangan sembang aplikasi WhastApp.

Difahamkan guru berkenaan tersilap menghantar mesej dalam kumpulan sembang kelas sebelum bertindak memadam semula perbualan tersebut. 

Antaranya berbunyi ‘anak bongkok, tidak lama keluar sudah dari jade. Sekali anak Zaleha masuk..minta puji mamanya mahu itu ini. Ku dera tu.’

Namun, bapa kepada murid berkenaan sempat melakukan tangkap layar sebelum berkongsi mengenai perkara itu dalam laman media sosial. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply