Gudang perkakasan dijilat api, dua termasuk warga asing melecur


 

PERMATANG PAUH: Seramai dua pekerja cedera selepas sebuah gudang yang menyimpan pelbagai jenis perkakasan termasuk cat hampir musnah dalam kebakaran di Jalan Permatang Janggus, di sini, kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Salah seorang mangsa iaitu lelaki warga Myanmar berusia 50-an dilaporkan melecur sehingga 70 peratus manakala seorang wanita warga tempatan berusia 30-an hanya mengalami cedera ringan.

Dalam kejadian itu juga, dua buah lori; tiga buah kereta serta dua buah motosikal turut terbakar dengan peratus kemusnahan sehingga 90 peratus.

BEBERAPA kenderaan termasuk kereta, lori dan motosikal dilaporkan turut musnah dalam kebakaran di sebuah gudang menyimpan pelbagai perkakasan di Permatang Pauh, hari ini. – Pic: IHSAN BOMBA

Terdahulu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, seramai 41 anggota bomba dari beberapa Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu.

Katanya, akibat kebakaran itu, gudang kategori kelas B dan berkeluasan kira-kira 27.8 x 27.8 meter persegi (300 x 300 kaki persegi) itu musnah hampir 80 peratus.

“Kebakaran dapat dikawal kira-kira pukul 11.48 pagi dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pukul 1.20 petang tadi.

“Kerja-kerja ‘overhaul’ turut dilakukan oleh pasukan bomba bagi memastikan tiada situasi bahaya lain sebelum operasi ditamatkan kira-kira pukul 6.45 petang tadi.

“Kes kemudian diserahkan kepada Pegawai Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, tambahnya, kedua-dua mangsa dihantar ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut dan punca kejadian serta jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN

 





Source link

Leave a Reply