Aksi ketiga Kelayakan Piala Asia B-20 peringkat kumpulan E menyaksikan Tajikistan berjaya menewaskan Malaysia di Dunshabe pada lewat malam Jumaat waktu tempatan.
Setelah tampil cemerlang mencuri satu mata ketika bertemu Korea Utara, skuad muda negara meneruskan misi layak ke Asia dengan menentang Tajikistan di hadapan penyokong lawan.
Pemain sayap lincah, Haykal Danish menjadi taruhan jurulatih negara, Juan Torres Garrido sementara kesebelasan utama Tajikistan pula diketuai oleh pemain sayap, Sulaymonov.
Skuad negara bermula garang dengan mengatur beberapa serangan dan sempat menguji kubu lawan hasil percubaan Zamirul Hakim seawal minit kelima namun ditepis penjaga gol.
Sepakan percuma Haykal Danish pada minit ke-21 hampir meletakkan Malaysia mendahului 1-0 namun penjaga gol Tajikistan, Makhmudzoda sekali lagi muncul wira pasukan.
Tuan rumah juga sempat memberi ancaman ke arah pintu gol negara hasil tendangan luar kotak penalti oleh Sulaymonov dan Haziq Aiman bertindak cemerlang menafikan peluang itu.
Separuh masa pertama tamat, Malaysia 0-0 Tajikistan.
Kembali di babak kedua, pasukan muda negara terus rancak menyusun strategi menerusi gerakan Haykal Danish namun penyudah pemain Selangor II ini sedikit tersasar di tepi tiang gol.
Zamirul Hakim berpeluang untuk mencetak gol pertama buat Malaysia pada minit ke-65 tapi malang tampanannya sedikit lemah dan mudah untuk ditangkap oleh Makhmudzoda.
Ketika permainan dijangka berakhir tanpa gol, Khushvakhtov Dzhovidon muncul wira Tajikistan dengan jaringan lewat di masa kecederaan untuk mengecewakan skuad muda negara.
Aksi di Repuplican Central Stadium, Dunshabe berakhir dengan keputusan 1-0 memihak Tajikistan.
Perlawanan terakhir peringkat kumpulan menyaksikan skuad negara bakal berhadapan Sri Lanka manakala Tajikistan pula akan berdepan Oman pada 29 September hadapan.