SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun, warga tempatan, dilaporkan hilang selepas turun untuk ambil makanan dari kereta yang diparkir di bawah rumahnya di flat Bandar Bukit Tinggi 1, Klang, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Cha Hoong Fong, mengesahkan laporan kehilangan ini diterima sekitar 8.59 malam.
Berdasarkan siasatan awal, kanak-kanak itu turun ke tempat parkir selepas ibunya memintanya ambil makanan dalam kereta sekitar 2.20 petang.
“Dia turun seorang diri dan tidak kembali. Ibu mangsa mula mencari pada jam 3 petang tetapi tidak berjaya menemuinya,” katanya dalam kenyataan media.
Susulan itu, ibu mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, dan satu kertas siasatan mengenai orang hilang telah dibuka.
Kanak-kanak yang dikenali sebagai Madrafataha Indal Bangsawan ini digambarkan sebagai berbadan kurus, berkulit cerah, dengan rambut paras bahu dan berketinggian sekitar 150 sentimeter. Kali terakhir dia dilihat mengenakan t-shirt hijau dan seluar track hitam.
Jika ada yang mempunyai maklumat berkaitan, diminta untuk menghubungi IPD Klang Selatan di 03-33762222 atau ke balai polis terdekat. Setiap maklumat mungkin berguna untuk membantu mencari Madrafataha.