“Lebih banyak kepada apa yang boleh dipetik sebagai pelajaran. Ya, mungkin, pelajaran untuk mereka di luar sana yang sama mengalami nasib seperti kita,” tambah Rossa.
SESI TEMU PEMINAT DAN TAYANGAN FILEM ROSSA LARIS TERJUAL
Acara Temu Peminat Rossa dan tayangan filem All Access Rossa: 25 Shining Years di pawagam Cathay, JEM, semalam (Sabtu, 19 Okt) mendapat sambutan hangat.
Lebih 40 anggota kelab peminatnya, Pecinta Rossa Singapura, turut memeriahkan suasana.
Seorang peminat, Badron Hazlie, 26 tahun, berkongsi,
“Apa yang saya cari dengan menonton biografi Rossa ini adalah kekuatan daripada Pemerkasaan Wanita, sepanjang Rossa daripada kerjaya sampai beliau berada di tahap yang terkini. Saya ingin tahu bagaimana saat beliau hampir jatuh dan tinggalkan industri muzik, sehingga beliau menjadi Ratu Pop Indonesia, sekitar tahun 2015. Jadi Rossa adalah salah satu idola yang amat baik untuk kita ikut contoh, sebab beliau tidak mudah rapuh, beliau tampil bersemangat dan hingga kini tidak pernah putus asa.”
Badron, yang mula meminati Rossa sejak usia 10 tahun, juga tertarik dengan personaliti mesra penyanyi itu.
“Beliau ramah dan menghargai setiap peminatnya,” tambahnya.
Nur Hafidzah Hamzah, seorang lagi peminat, berkata, “Saya mahu melihat secara lebih dekat lagi, karier Rossa sebagai seorang artis dan juga bagaimana dia melalui cabaran di dalam karier seninya. Juga dari segi kehidupan peribadi, seperti teman-teman seperjuangannya dan juga famili, yang kita jarang lihat di media.”
TARIKAN FILEM ‘ALL ACCESS’ KEPADA BUKAN-PEMINAT ROSSA
Apakah tarikan filem All Access kepada mereka yang bukan peminat Rossa?
Penyanyi itu yakin filemnya tetap mampu menarik minat ramai.
“Kalaupun orang tidak mengenali saya, saya rasa mereka akan menikmati filem ini. Ada banyak elemen hiburan seperti tayangan konsert yang glamor, di mana penonton boleh turut serta menyanyi dan berkaraoke,” katanya.
Rossa, yang sentiasa berinovasi, berharap filemnya memberi impak positif kepada industri muzik dan perfileman Indonesia.
“Yang penting adalah bagaimana saya menjalani kerjaya selama 25 tahun. Saya berharap filem ini boleh menjadi inspirasi kepada mereka yang inginkan karier yang panjang,” katanya.