AMPANG: Kerajaan Negeri Selangor akan membina ban banjir sementara di kawasan berisiko susulan fenomena air pasang besar di negeri itu bermula esok sehingga 22 Oktober depan.
Menurut Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari, arahan terbabit telah dikeluarkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) baru-baru ini.
“Saya nak maklumkan sekali lagi penduduk di pesisir pantai Selangor esok sehingga 22 Oktober tarikh penting iaitu fenomena air pasang besar di kawasan Klang dan seluruh pesisir pantai Selangor.
“Kita telah melakukan beberapa arahan supaya ban (banjir) yang belum siap, dibina sementara dalam dua mesyuarat MTES lepas,” katanya yang ditemui selepas melawat mangsa-mangsa tanah runtuh Taman Melawati di sini pagi tadi.
Tambah Amirudin, semua pihak perlu bersiap sedia bagi menghadapi fenomena itu yang boleh membawa kepada kejadian banjir.
“Petang ini saya akan tengok persediaan (di kawasan berisiko) dan esok kita akan tengok kesiapsiagaannya.
“Pentingnya semua pihak perlu bersiap siaga kerana pada tanggal 18 Oktober dijangka air pada tahap tertinggi iaitu 5.8 meter. Jadi di kawasan Klang sehinggalah Sabak Bernam ada risiko banjir berlaku,” jelasnya.
Selain pembinaan ban sementara, kerajaan negeri juga jelasnya akan membuka Pusat Kawalan Bencana Negeri dan Daerah selama 24 jam sehari.
Ia bagi memudahkan jawatankuasa berkaitan melakukan pemantauan di kawasan-kawasan berisiko banjir.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.