PETALING JAYA – Meskipun berdepan isu rumah tangga, aktor kacak Fattah Amin berjaya mencuri perhatian ramai apabila memenangi pertandingan larian ‘Run Challenge’.
Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd. Amin, 33, menewaskan pelawak dan penyampai radio, Nabil Ahmad sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000.
Difahamkan, hadiah itu merupakan sumbangan penyampai radio, Azad Jasmin yang mahu Fattah dan Nabil bersungguh-sungguh menghabiskan larian mereka.
Pertandingan anjuran sebuah stesen radio tempatan itu dilakukan sejauh dua kilometer di Pusat Penyiaran Asia Astro, Bukit Jalil.
Ketika dimaklumkan mengenai pertandingan itu, Fattah kelihatan bersahaja dan tenang sebelum bersetuju untuk menyahut cabaran berkenaan.
Menerusi hantaran di Instagram, selain hadiah wang tunai, senarai 10 lagu pilihan Fattah juga akan dimainkan di stesen radio tersebut sepanjang hari bagi menghargai kejayaan pelakon tersebut.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai wanita yang suka melihat kemunculan duda terhangat itu selain berasa lega kerana selebriti tersebut kelihatan tenang.
“Fattah nampak tenang walaupun ada masalah. Tapi entah kenapa saya yang sayu tengok muka dia,” kata Suzy.
“Kawan-kawan di konti radio cuba nak tenangkan Fattah. Fattah nampak tenang walaupun ada nampak kesedihan lagi,” komen Marina.
“Semoga Fattah teruskan semangat dalam apa jua dilakukan. Terus ke hadapan dan usah toleh ke belakang,” tulis Syazana.
Pada 7 Oktober lalu, Fattah Amin dan Fazura sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam selepas mereka mendirikan rumah tangga selama tujuh tahun.
Pasangan selebriti itu berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisya, 4,. – KOSMO! ONLINE.