KUALA LUMPUR, 24 Oktober – Malaysia kekal optimis untuk membariskan pasukan terbaik menjelang Kejohanan ASEAN 2024 yang akan membuka tirainya Disember ini, meskipun berdepan jadual padat bola sepak kelab Asia pada penghujung tahun.
Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Scott O’Donell yakin Harimau Malaya mampu mengumpulkan barisan pemain yang berkaliber untuk memastikan hanya yang terbaik dipilih bagi edisi ke-15 kejohanan berprestij itu.
“Kejohanan ASEAN dalam setiap edisinya sentiasa menjadi trofi yang sangat diidamkan. Negara-negara gergasi bola sepak rantau ini akan bersaing untuk merebut gelaran juara serantau,” katanya dalam kenyataan media bersempena Kejohanan ASEAN 2024.
Walaupun mengakui beberapa kelab Malaysia akan turut bertarung di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) pada Disember, O’Donell menegaskan, bahawa Kejohanan ASEAN kekal sebagai kejohanan penting, iaitu setiap pasukan akan memberikan segalanya untuk menjulang kejuaraan.
Malaysia selaku juara edisi 2010, diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan Thailand serta Kemboja, Singapura, dan Timor-Leste.
Manakala Kumpulan B menyaksikan persaingan antara Indonesia, Vietnam, Filipina, Myanmar dan Laos.-BERNAMA