BINTANG Selangor FC, Faisal Halim masih mempunyai ‘hutang’ perlu dilunaskan kepada bekas pengendali kebangsaan, Kim Pan-gon yang mahu dia kembali bangkit dan menjadi pemain lebih baik selepas ini.

Selepas disenaraikan antara 20 pemain dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Sabtu lalu, Faisal mendedahkan Pan-gon ada meninggalkan pesan istimewa buatnya.

“Saya dapat tahu dia nak tinggalkan Malaysia, saya pun mesej dia dan beritahu kepadanya ‘sebelum ini coach cakap dekat saya, jangan putus asa, kembali beraksi untuk Selangor atau pun pasukan kebangsaan’.

“Dia kata ‘saya akan tunggu awak’, jadi saya pun ulang balik ayat yang dia katakan kepada saya tetapi dia cakap kita tidak tahu apa yang berlaku pada masa depan, kita cuba buat yang terbaik.

“Dia cakap awak akan jadi yang lebih baik pada masa akan datang kalau awak bangkit. Saya pegang kata-kata itu, saya cuba untuk bangkit dan jadi pemain yang luar biasa.

“Saya nak buktikan kepada Malaysia yang saya tidak boleh dijatuhkan dengan apa-apa, doa rakyat Malaysia di belakang saya,” katanya yang dipetik menerusi satu rakaman video yang dikongsikan oleh Selangor.

Kehadiran Faisal di bangku simpanan mencetuskan kebangkitan luar biasa buat Red Giants apabila mengatasi TFC 4-1 sekali gus mara ke final Piala FA hasil kejayaan 6-4 secara agregat.

“Saya sedih kerana sebagai pemain pernah bekerja dengan Pan-gon, saya tahu keikhlasan dan karakternya. Pan-gon telah banyak mengubah karakter pemain dan juga skuad kebangsaan.

“Ketika di hospital, beliau ada datang melawat saya. Beliau masuk pintu hospital dan tidak bercakap, menangis hampir lima minit ketika duduk di sebelah saya dan tidak bercakap apa-apa.

“Itu detik yang saya tersentuh, walaupun bukan bangsa dan rakyat kita, beliau ikhlas dengan tanggungjawabnya,” kata Faisal.





Source link

Leave a Reply