SINGAPURA: Kata pepatah “patah tumbuh hilang berganti”. Namun tidak begitu bagi P. Ramlee.

Tokoh yang diangkat sebagai seniman agung Melayu telah meninggal dunia pada tahun 1973.

Begitu pun, karya-karya beliau masih mendapat tempat di hati masyarakat.

Filem-filem P. Ramlee masih diulang tayang di televisyen dan lagu-lagu beliau masih berkumandang di stesen radio. Riwayat, sumbangan, pengorbanan, kejayaan dan susah-payah beliau sebagai anak seni terus dikaji dan dibincangkan tanpa jemu.

Terkini, muncul satu lagi buku berjudul “P. Ramlee: Tiada yang Kedua” tulisan Hidir Ali Razali yang juga menghasilkan buku “Nordin Ahmad: Permata Seni Terbilang”, merakam kisah lagenda filem Melayu ini.

Buku setebal 316 halaman ini dibahagikan kepada lima bahagian dan 51 bab. Setiap bab yang tidak melebihi lapan muka surat memudahkan pembaca menghadam maklumat yang dibentangkan.

Jelas sekali penulis telah menjalankan kajian yang terperinci tentang P Ramlee.

Maklumat yang diperolehi melalui temu bual dimantapkan lagi dengan rujukan daripada sumber penulisan seperti buku, majalah dan akhbar.

Gambar-gambar daripada koleksi peribadi pelbagai tokoh yang seangkatan dengan P. Ramlee turut dimuatkan di dalam buku ini.

Susunan buku ini secara dasarnya mengikut urutan masa. Bermula dengan kisah ibu bapa seniman agung ini, diikuti dengan kelahiran dirinya sehinggalah ke akhir hayat beliau.

Antara bab yang menarik termasuk yang menceritakan bagaimana P. Ramlee mula bertugas dengan mendapat gaji RM70 sehingga meraih gaji RM30,000 untuk menyiapkan sebuah filem seperti “Bujang Lapuk” dan “Tiga Abdul”.

Satu lagi bab menarik adalah tentang pengaruh Angkatan Sasterawan 50 (atau ASAS ‘50) ke atas P. Ramlee.

Gagasan “Seni untuk Masyarakat” yang dibawa oleh pertubuhan sastera yang berpangkalan di Singapura itu menyentuh jiwa beliau untuk menjadikan perfileman sebagai wadah mengetengahkan isu-isu golongan marhaen.

Buku ini bukan sekadar merakamkan kehidupan P. Ramlee, ia juga mengajak pembaca untuk memikirkan sama ada almarhum dan perjuangannya masih relevan pada era kontemporari dan langkah yang perlu diambil untuk memajukan filem Melayu dewasa ini.

Lungsuri laman katalog untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: P. Ramlee: Tiada yang Kedua
Penulis: Hidir Ali Razali
Penerbit: Kuala Lumpur: Patriots Asia Sdn. Bhd., 2024
Nombor Panggilan: 791.43092 HID
Pengulas: Mazelan Anuar, Pustakawan Kanan, NLB



Source link

Leave a Reply