Empat masjid hasil peruntukan kerajaan N. Sembilan kini siap


SEREMBAN: Sebanyak empat buah masjid daripada enam buah projek pembinaan masjid di bawah peruntukan kerajaan Negeri Sembilan yang telah diluluskan pada tahun 2020 telah pun siap dan telah diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) minggu ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kesemua empat masjid tersebut adalah Masjid Forest Height, Senawang; Masjid Kariah Seri Kendung, Rembau; Masjid Ar-Rahman, Bahau, Jempol dan Masjid Saidatina Aisyah, Bandar Seremban Selatan yang melibatkan peruntukan pembangunan kerajaan negeri sebanyak RM21.91 juta.

“Ada dua buah masjid lagi yang dalam pembinaan iaitu di Taman Warisan Puteri, Sikamat dan Taman Senangin di Lenggeng, insya-Allah kedua-duanya akan siap tahun hadapan.

“Ini antara usaha kerajaan negeri untuk memberikan kemudahan, keselesaan selain mahu menjadikan masjid sebagai pusat tarbiah dan dakwah bagi melahirkan insan yang memahami al-Quran, Islam dari sudut yang sebenarnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Masjid Saidatina Aisyah, Bandar Seremban Selatan di sini hari ini.

Pada tahun 2020, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM41 juta bagi pembinaan keenam-enam buah masjid berkenaan termasuk RM6.6 juta bagi pembinaan masjid Masjid Saidatina Aisyah.

MASJID Saidatina Aisyah, Bandar Seremban Selatan, Seremban kini siap dibina di atas tanah berkeluasan 2.09 hektar yang menelan belanja sebanyak RM6.6 juta hasil peruntukan pembangunan kerajaan Negeri Sembilan.-GAMBAR/JKR NEGERI SEMBILAN

“Seiring dengan kepadatan perumahan dan peningkatan jumlah penduduk di Taman Bandar Seremban Selatan, Taman Seremban Jaya dan perumahan sekitarnya, Masjid Saidatina Khadijah di Taman Seremban Jaya yang sedia ada dengan kapasiti 1,000 jemaah sudah tidak lagi mampu menampung jumlah ahli kariah di kawasan berkenaan. 

“Atas keprihatinan, kerajaan negeri telah meluluskan pada tahun 2020 sebanyak RM6.6 juta bagi pembinaan masjid ini dengan pelbagai kemudahan yang memenuhi keperluan kariah setempat serta mesra orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Dibina atas tanah berkeluasan 2.09 hektar, Masjid Saidatina Aisyah ini mampu memuatkan seramai 1,000 orang jemaah selain dilengkapi sebanyak 126 petak letak kereta.-UTUSAN.

 





Source link

Leave a Reply