JOHOR BAHRU – Laporan Jabatan Kimia menunjukkan sampel air yang diambil di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena, Larkin di sini mengandungi bakteria Escherichia Coli atau lebih dikenali E-Coli.
Bakteria E-Coli yang dikesan daripada sampel air tu dikesan pada sembilan sampel air yang diambil dari kawasan kolam renang, kolam terjun, tangki takungan dan tandas.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah ketika ditanya mengenai perkembangan kes 19 pelajar yang menghidap beberapa gejala selepas menggunakan fasiliti Pusat Akuatik MBJB Arena.
Mohd. Hairi berkata, pihaknya menerima laporan Jabatan Kimia itu pagi tadi berdasarkan ujian beberapa sampel air yang diambil di venue Kejohanan Akuatik Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) tersebut.
Beliau berkata, berdasarkan laporan persampelan yang diterima itu, terkesan kehadiran bakteria tersebut dalam jumlah yang kecil namun ia masih boleh mendatangkan memudaratkan.
“Secara ringkasnya, Jabatan Kimia telah menjalankan analisis terhadap sembilan sampel air yang dikumpul, termasuk kolam renang utama, kolam terjun, tandas dan tangki takungan. Semua persampelan ini mendedahkan telah tercemar oleh bakteria e coli,” katanya kepada pemberita hari ini.-KOSMO! ONLINE