PETALING JAYA: Dua wanita cedera dipercayai diserang seorang lelaki menggunakan pisau di dalam tandas sebuah surau, berhampiran sekolah agama rakyat di Kelana Jaya, di sini kira-kira 1.30 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Jaafar ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya sedang giat mengesan suspek terlibat.
“Satu kenyataan media akan dikeluarkan susulan kejadian ini,” katanya.
Difahamkan kedua-dua mangsa yang berumur 20-an dan 50-an telah dihantar ke Hospital Shah Alam.
Sementara itu, seorang daripada ahli jawatankuasa surau berkenaan yang enggan dikenali berkata hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di surau itu telah diserahkan kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.