Dua mangsa terakhir tanah runtuh dijumpai


CAMERON HIGHLANDS: Pencarian dua mangsa terakhir yang tertimbus tanah runtuh di kawasan kebun sayur dekat Kampung Batu 59, Kampung Raja di sini berakhir, apabila mayat pekerja warga Myanmar itu ditemukan sebentar tadi.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Azri Ramli berkata, mayat mangsa keempat ditemui pada pukul 6.10 petang diikuti mangsa kelima pada pukul 6.50 petang.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa itu dijumpai berhampiran satu sama lain pada jarak lima meter dengan kedalaman satu meter.

“Mayat keempat yang dikenal pasti sebagai Shing Law Har, 56, dijumpai di sektor D manakala menantunya, Om Myu, 37, pula ditemui antara sektor C dan D.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khirulanwar Al-Yahya Syed Abdul Rahman dan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Md Gezani Md Ghazi.

Mengulas lanjut beliau berkata, penemuan dua mangsa terakhir itu menamatkan kerja-kerja mencari dan menyelamat kesemua lima warga asing yang dilaporkan tertimbus runtuhan tanah dalam kejadian pada awal pagi semalam.

Katanya, setakat ini, hanya lima mangsa yang terlibat dalam kejadian runtuhan berkenaan.

“Kita tidak menerima laporan berkaitan kehilangan mangsa lain yang boleh dikaitkan dengan kejadian runtuhan ini. Setakat ini hanya lima mangsa sahaja.

“Dengan penemuan kesemua mangsa, saya secara rasmi menutup PKTK pada pukul 9 malam,” katanya.

Tambah beliau, operasi mencari dan menyelamat mangsa disertai 220 anggota daripada 17 agensi termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm) serta Unit Anjing Pengesan (K9) bomba.

Kejadian tanah runtuh di kawasan kebun sayur itu dilaporkan kepada pihak polis pada pukul 2.10 pagi semalam, membabitkan dua buah rumah pekerja warga Myanmar yang dihuni empat lelaki dan seorang wanita.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang diaktifkan semalam berjaya menemukan dua mayat lelaki iaitu Law Ha Phey, 36, dan Ki Shing Om, 48, manakala satu lagi mayat dijumpai hari ini yang dikenal pasti sebagai Thang Moung, 25. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply