KOTA KINABALU: Dua lelaki warga tempatan dipercayai keldai dadah ditahan bersama dadah seberat 20 kilogram dianggarkan bernilai RM667,729.44 di dua lokasi berasingan di negeri ini pada 30 Julai lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Sabah, Siti Mang berkata, kedua-dua rampasan dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Lapang Terbang Tawau.
Beliau berkata, kesemua dadah yang dirampas dibungkus dalam teh Cina bagi mengelirukan pihak berkuasa.
Katanya, dalam rampasan pertama, pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan seorang lelaki Cina warga tempatan berusia 29 tahun kira-kira pukul 12.30 tengah hari kerana disyaki membawa barangan terlarang dalam bagasi.
“Hasil imbasan dan pemeriksaan rapi ke atas bagasi tersebut mendapati terdapat 10 bungkusan plastik berwarna hijau kuning jenama ‘Guanyinwang’ yang disyaki mengandungi dadah berbahaya.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kesemua bungkusan plastik itu menemukan sejumlah dadah berbahaya disyaki jenis Methamphetamine (syabu) dengan berat kasar 10.199 gram dianggarkan bernilai RM326,389.44,” katanya semasa sidang akhbar di Wisma Penguatkuasaan Kastam, Sepanggar hari ini.
Menurut beliau, dalam rampasan berasingan di KKIA, semasa Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) menjalankan Operasi Khas Narkotik, pihaknya telah menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 18 tahun yang membawa bagasi mencurigakan.
Kata beliau, pemeriksaan terhadap bagasi penumpang yang mencurigakan menemukan 10 bungkusan teh Cina disyaki mengandungi dadah berbahaya.
Siti berkata, pemeriksaan lanjut ke atas 10 plastik tersebut menemukan sejumlah dadah jenis syabu dengan berat kasar 10,19 gram dianggarkan bernilai RM341,340.
Jelas beliau, kedua-dua kes sedang dalam siasatan lanjut untuk mengesan sebarang jaringan sindiket yang lebih besar dan memastikan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang terlibat.
Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN