Dijanjikan kerja, 21 lelaki Bangladesh ‘terabai’ 6 bulan


PUTRAJAYA: Seramai 21 lelaki Bangladesh berusia antara 20 hingga 40 tahun diselamatkan Jabatan Imigresen (JIM) dalam operasi membanteras kegiatan pemerdagangan orang di sebuah premis rumah kedai di Klang, Selangor kelmarin.

Difahamkan, kesemua mereka dipercayai menjadi mangsa eksploitasi dengan dijanjikan pekerjaan oleh majikan yang menguruskan kemasukan ke Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, operasi menyelamat itu dijalankan Unit Risikan Operasi Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil maklumat awam dan risikan dijalankan.

Katanya, pasukan operasi turut menggunakan pendekatan siasatan awal bagi mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

“Mereka juga diabaikan tanpa sebarang pekerjaan selama lebih kurang enam bulan. Ada antara mereka dikeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara yang sah dan bekerja, namun tidak diberikan upah oleh majikan.

“Pasport mereka turut dipegang dan disimpan oleh majikan tanpa kerelaan.

“JIM mengenal pasti syarikat serta majikan yang terlibat dan memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, JIM sentiasa memandang serius isu terbabit selain akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat dan majikan yang terlibat dalam amalan pekerja terabai seterusnya menjurus kepada elemen eksploitasi, buruh paksa dan pemerdagangan orang.

“JIM akan meneruskan operasi penguatkuasaan dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah ATIPSOM 2007.

“Sabit kesalahan, mana-mana individu yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga puluh tahun atau pemenjaraan seumur hidup dan boleh dihukum hukuman sebat bagi kesalahan pemerdagangan orang yang lebih berat,” tegasnya.

Malah, bagi mana-mana kesalahan di bawah Akta ATIPSOM yang disabitkan kepada majikan, pekerja atau ejen boleh dihukum dengan penalti yang lebih berat sebagaimana diperuntukkan. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply