SHAH ALAM: Denda maksimum RM50,000 atau hukuman penjara akan dikenakan terhadap premis terutama kilang di Selangor yang tidak mendapatkan lesen di bawah peraturan baharu Dasar Pelepasan Sifar (ZDP).

Tindakan tegas mulai Januari tahun depan itu dilakukan mengikut Peraturan-Peraturan Perlesenan Pembangunan Air Kembalian, Kemasukan atau Pelepasan Bahan Buangan dan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2024

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin berkata, peraturan yang diwartakan pada 20 Jun lalu itu meliputi 13 aktiviti kilang termasuk perindustrian, akuakultur, perlombongan, kerja tanah dan ternakan ruminan.

Menurutnya, statistik menunjukkan hanya 215 daripada lebih 30,000 kilang berdaftar memohon lesen itu dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sehingga kelmarin.

“Justeru, tempoh enam bulan iaitu sehingga hujung tahun ini diberikan kepada semua pemilik kilang untuk membuat lesen tersebut.

“Berdasarkan peraturan ZDP, premis yang gagal berbuat demikian boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya selepas merasmikan sesi libat urus pelaksanaan ZDP, hari ini.

Jelas Jamaliah, inisiatif melibatkan kerjasama semua pemain industri itu memfokuskan pengurusan kuantiti dan kualiti sumber air daripada punca persekitaran.

“ZDP bertujuan menggalakkan pengusaha supaya meminimumkan kuantiti pelepasan efluen menerusi kaedah kitar dan guna semula air sisa premis masing-masing.

“Selain meningkatkan tahap kesediaan sumber air negeri, ia sekali gus mengurangkan risiko masalah kualiti air dan pencemaran,” ujarnya.

Tambah beliau, semua pihak terlibat perlu memastikan efluen yang dilepaskan mematuhi had piawaian ditetapkan.

“Sebarang pelepasan berlebihan akan dikenakan caj pelanggaran berdasarkan kadar beban efluen mengikut parameter yang ditetapkan.

“Kadar caj itu juga relatif dengan jumlah bebanan sekali gus memastikan pengusaha mematuhi piawaian melalui kaedah sistem rawatan yang bersesuaian dengan teknologi hijau,” katanya.

Sementara itu, Pengarah LUAS, Hasrolnizam Shaari berkata, pelaksanaan ZDP selaras peruntukan di bawah Seksyen 44 (1) (b) dan Seksyen 79 Enakmen LUAS 1999.

“Peraturan itu meliputi kuasa untuk mengenakan caj dan mengeluarkan lesen bagi pemulangan air atau pembuangan bahan buangan, kumbah atau bahan pencemar ke dalam mana-mana sumber air.

“Kami sedang mempergiatkan usaha libat urus untuk menguar-uarkan perkara itu kepada pemain industri sebelum mengeluarkan notis kesalahan kepada pihak yang mengingkarinya awal tahun depan,” jelasnya. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply