Daqmie, Mestica angkat golongan Mualaf dalam lagu terbaharu


PETALING JAYA: Komposer dan penyanyi, Daqmie mengangkat kisah golongan mualaf menerusi lagu terbarunya, Yang Mulia.

Menganggap sebagai usaha dakwah di dalam lagu, Daqmie berkolaborasi dengan sahabatnya yang juga kumpulan nasyid, Mestica untuk menyempurnakan lagu tersebut.

“Yang Mulia dipilih menjadi tajuk lagu kerana ia menceritakan bagaimana masyarakat perlu berbakti kepada golongan mualaf. 

“Mestica adalah rakan sinergi saya yang lama. Apabila ditanya, mereka juga belum mempunyai lagu raya dan molek sekiranya kita berkolaborasi. 

“Saya terus mula buat melodi. Lirik pula ditulis oleh Pengerusi Perkim Cawangan Datuk Keramat, Ustaz Mohamad Suhaimi Abdul Aziz. 

“Selepas habis tarawih bulan Ramadan lalu, kami terus rakam lagu tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Bercerita lanjut mengenai proses penghasilan lagu, Daqmie mencari melodi yang mudah diterima khususnya bagi pendengar generasi muda.

“Selaku Duta Mualaf Perkim Datuk Keramat, saya mempunyai idea agar usaha dakwah  tidak terlalu terikat dengan kaedah lama.

“Bermula dari situ, maka terlahirlah lagu ini yang turut diterapkan dengan melodi kontemporari bagi menarik minat masyarakat khususnya generasi muda,” katanya yang berjaya menyiapkan lagu dalam tempoh yang singkat.

Tambah Daqmie, kini pendengar boleh menonton muzik video lagu tersebut yang telah dimuat naik menerusi saluran YouTube Daqmie Channel.

Untuk rekod, Perkim merupakan organisasi yang aktif dengan kerja-kerja dakwah dan kebajikan dalam menyebarluaskan syiar Islam kepada golongan Islam dan belum Islam di negara ini. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply