Pemain campuran negara diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak memandang rendah terhadap beberapa pasangan baru yang akan membuat penampilan sulung mereka di Malaysia Open dari 7 hingga 12 Januari ini.
Ketua jurulatih campuran negara, Nova Widianto, telah menyoroti pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Ng Tsz Yau dan pasangan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, sebagai antara yang berpotensi mencabar pemain Malaysia.
“Pasangan-pasangan baru ini memang hebat. Mereka bermain pada tahap yang hampir sama dengan pemain-pemain kita,” katanya.
“Mungkin kita akan berhadapan dengan pasangan-pasangan ini di pusingan pertama kerana mereka tidak mendapat seeding. Harap pemain-pemain kita sudah bersedia untuk menghadapi cabaran ini,” tambahnya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.
Nova juga memaklumkan bahawa persiapan pemain campuran negara untuk Malaysia Open berjalan lancar, dan mereka tidak sabar untuk bertanding.
Walaupun begitu, jurulatih asal Indonesia ini tidak meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap pemainnya. Dia hanya berharap mereka dapat menunjukkan prestasi terbaik.
“Bermain di Malaysia memang mencabar kerana beraksi di hadapan penyokong sendiri datang dengan tekanan tersendiri,” ujarnya. “Saya tak mahu letakkan harapan yang tinggi agar mereka jadi juara kerana itu mungkin akan memberi tekanan tambahan. Saya hanya harap mereka dapat bermain dengan baik.”
Malaysia akan diwakili oleh dua pasangan dalam kategori campuran: Hoo Pang Ron-Chen Su Yin serta Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, yang baru sahaja mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama yang melangkah ke perlawanan akhir World Tour Finals di Hangzhou, China, baru-baru ini.