KUCHING, 7 Okt: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah mencadangkan penubuhan Unit Pembangunan Sukan OKU di kementeriannya sebagai persiapan rapi untuk menghadapi pertandingan sukan akan datang.
Katanya, usaha ini sebagai langkah yang agresif untuk mempersiapkan atlet-atlet bertanding pada temasya Para SUKMA 2026 dan Sukan Para Asean akan datang.
“Selain penubuhan unit tersebut, sesiapa yang diberi tanggungjawab nanti harus lebih agresif sebab pesaing terdekat kita sudah mula aktif mencari bakat-bakat baharu. Jadi kita tidak boleh ketinggalan.
“Kita mesti lebih agresif berkolaborasi dan bekerjasama dengan institusi dan jabatan untuk mengenalpasti dan membangunkan bakat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Sarawak Para SUKMA XXI 2024 di sini hari ini.
Selain itu, katanya, Sarawak perlu memberi tumpuan kepada usaha membangunkan jurulatih yang profesional.
“Kita perlu memastikan mereka (jurulatih) diberi kursus terkini dan latihan sains sukan di samping menyediakan program pendedahan di peringkat kebangsaan dan luar negara untuk atlet dan jurulatih para,” ujarnya.
Mengenai majlis tersebut, Kerajaan Sarawak telah menyampaikan insentif berjumlah RM2.256 juta kepada atlet-atlet Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Sarawak yang berjaya merangkul pingat dalam temasya sukan kali ke-21 itu yang baru berakhir.
Insentif disampaikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sebuah hotel di sini. -TVS