Seorang chef selebriti tempatan baru-baru ini mengkritik Bungkus Kaw Kaw selepas terpaksa membayar harga tambahan untuk Sambal bagi Nasi Lemak Rendang Ayamnya (yang tidak disertakan dengan Sambal).
Chef Zam juga meluahkan rasa kurang puas hati terhadap bahagian ayam yang kecil, yang dijual secara berasingan pada harga tambahan RM4.90. Susulan dari maklum balas yang viral, Bungkus Kaw Kaw (BKK) telah memberikan respon melalui kenyataan rasmi di halaman Facebook mereka hari ini (23 Ogos).
BKK menyatakan mereka menerima dan mengakui maklum balas Chef Zam dengan hati terbuka, dan mengakui bahawa Nasi Lemak Rendang Ayam yang dipesan oleh chef tersebut memang tidak disertakan dengan Sambal, dan hanya dihidangkan dengan Kuah Rendang.
Namun, restoran itu berjanji kepada para pelanggannya bahawa mereka boleh menjangkakan penambahbaikan.
“Kami akan segera memperbaiki dengan menghidangkan Nasi Lemak Rendang Ayam dengan Sambal, serta Kuah Rendang.”
Selain itu, BKK juga menjelaskan bahawa mereka mempunyai 6 jenis Nasi Lemak dengan profil rasa yang berbeza, iaitu seperti berikut:
- Nasi Lemak Original (disajikan dengan Sambal)
- Nasi Lemak Rendang Ayam (disajikan dengan Kuah Rendang)
- Nasi Lemak Ayam Merah (disajikan dengan Sambal Masak Merah)
- Nasi Lemak Sambal Udang (disajikan dengan Sambal Udang)
- Nasi Lemak Petai Udang (disajikan dengan Sambal Petai)
- Nasi Lemak Ayam Pedas Tomyam Sotong (disajikan dengan Sambal Asam Pedas Tomyam)
“Caj tambahan hanya dikenakan apabila penambahan dibuat kepada menu sedia ada,” jelas BKK.
Sementara itu, pihak pengurusan restoran juga mengesahkan bahawa mereka telah menghubungi Chef Zam untuk menjelaskan situasi tersebut, dan memberitahu rakyat Malaysia bahawa mereka sentiasa terbuka untuk menerima maklum balas bagi penambahbaikan. Anda juga boleh klik di sini untuk melawat menu penuh Bungkus Kaw Kaw.
Peminat Nasi Lemak dan penggemar makanan, apa pendapat anda tentang ini?
Baca juga: “Hentikan penindasan kami!” – M’sian yang enggan membayar RM15 untuk Nasi Lemak Ayam Berempah di Bazaar Ramadhan