Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh percaya sukan bola sepak mempunyai satu ekosistem yang membuatkan sukan tersebut menjadi mahal.
Mahu ataupun tidak, untuk berjaya di dalam mengendalikan bola sepak sememangnya memerlukan pelaburan bagi menaikkan taraf bola sepak kebangsaan.
“Apa yang saya tahu, dalam ekosistem bola sepak, ia memang sukan yang mahal. Jurulatih dengan standard dunia, mereka semua mendapat bayaran yang amat baik.
“Oleh sebab itu, mungkin ramai yang tidak tahu kalau kita mahu membantu pasukan ini, perlu ada pelaburan,” jelas Hannah seperti dilaporkan Stadium Astro.
Mengulas berkenaan pemilihan jurulatih baharu skuad Harimau Malaya, Hannah berkata segalanya diserahkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memilih calon jurulatih terbaik skuad kebangsaan.
“Saya yakin dengan jawatankuasa yang akan memilih jurulatih bahawa mereka akan memilih pengendali yang sesuai buat Harimau Malaya.
“Jika mereka mampu untuk membiayai jurulatih yang mereka mahu, mereka boleh meneruskannya kerana saya percaya jawatankuasa mereka sudah menilai setiap kriteria yang diperlukan,” katanya lagi.
Nama bekas jurulatih Vietnam, Park Hang-seo adalah nama yang hangat diperkatakan untuk mengisi kerusi jurulatih skuad kebangsaan sebelum ini.
Namun buat masa ini, FAM akan memberikan peluang buat Pau Marti Vicente bagi memberikan segala yang termampu dalam mengendalikan skuad kebangsaan. Jika ianya positif, tidak mustahil khidmat Pau Marti akan dikekalkan sebagai jurulatih Harimau Malaya.