Lagenda bola sepak Malaysia, Hairuddin Omar yakin bahawa bola sepak Malaysia memerlukan suntikan daripada DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Beliau menyatakan pandangan peribadinya melihat kepada senario bola sepak semasa dan yakin bahawa sentuhan daripada Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu diperlukan dalam semua aspek.
DYAM Tunku Ismail telah membantu Harimau Selatan mengecapi pelbagai kejayaan domestik dan juga peringkat Asia termasuklah menjadi wakil tunggal Malaysia untuk beraksi di AFC Champions League Elite (ACLE).
“Inilah realitinya. Bola Sepak Malaysia memerlukan Tunku Ismail dalam semua aspek,” ujar Hairuddin Omar.
Pandangannya selari dengan apa yang dizahirkan oleh bekas jurulatih berpengalaman, Wan Jamak Wan Hassan yang yakin dengan kredibiliti yang dimiliki oleh DYAM Tunku Ismail.
Beliau yakin sosok dan pengaruh hebat yang dimiliki oleh DYAM Tunku Ismail amat penting untuk menyuntik lebih banyak kejayaan buat pasukan kebangsaan.
“Dalam landskap bola sepak negara ini, tiada orang lebih layak berdasarkan apa yang telah ditonjolkan oleh Tunku Ismail ketika membimbing JDT sehingga berjaya menjadi sebuah kelab yang digeruni,” katanya.
Wan Jamak juga menganggap kemajuan yang berlaku di JDT dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini menjadi penanda aras yang baik berkenaan keberkesanan sentuhan baginda.
“Dalam tempoh selepas baginda letak jawatan (Presiden FAM), kita tengok pembangunan pemain di JDT yang sangat baik dan mereka berjaya memperkukuhkan pasukan senior mereka.
“Ia petanda baik dan mungkin ada idea daripada Tunku Ismail berdasarkan apa yang dilakukan di JDT untuk diterapkan pada pasukan kebangsaan,” tambahnya lagi.
DYAM Tunku Ismail sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin berkenaan langkah pembangunan bola sepak.
Pertemuan ini turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Pertemuan empat figura ini diadakan pada 23 Oktober lalu.