KUCHING, 3 Nov: Ketangkasan, kreativiti, ketajaman minda dan ketahanan stamina peserta untuk menghasilkan gerak lincah dalam sukan tarian dewan dansa merupakan daya penarik utama Konvensyen dan Kejuaraan Sukan Tarian Antarabangsa Terbuka Borneo (BOIDC) 2024.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pentas BOIDC 2024 merupakan wadah bagi peserta tarian dewan dansa atau ballroom dance menyerlahkan bakat selain membuktikan usaha keras mereka dalam memperjuangkan sukan tarian pelbagai disiplin diiktiraf oleh penilai antarabangsa.
Menurutnya, penganjuran edisi kali kedua BOIDC di Sarawak ini membuktikan wilayah bukan sahaja berpotensi malah mampu menganjurkan lebih banyak sukan tarian bertaraf dunia di bawah Persekutuan Sukan Tarian Dunia (WDSF) pada masa akan datang.
“Kementerian kami berkongsi visi BOIDC untuk menjadikan Sarawak sebagai hab terkemuka bagi aktiviti sukan, seni dan pelancongan selain melihat sukan tarian ini secara langsung, saya yakin anda akan mendapat sokongan penuh daripada kementerian pada tahun akan datang.
“Penganjuran program yang amat berkualit seperti ini turut menyerlahkan potensi Sarawak untuk menganjurkan lebih banyan kejohanan antarabangsa yang berprestij sekali gus mengukuhkan komitmen kami untuk menjadikan Sarawak sebagai pusat kecemerlangan dan inovasi sukan,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Desmond Douglas Jerukan, pada Konvensyen dan Kejuaraan Sukan Tarian Antarabangsa Terbuka Borneo (BOIDC) 2024 di Kuching pada Sabtu.
Menurutnya, selain memperkasa segmen pelancongan negeri dan negara, program seperti BOIDC turut berperanan meluaskan jaringan kerjasama dari dalam negara dan serantau selain menggalakkan aktiviti silang budaya serta pertukaran idea untuk memajukan industri seni kreatif dan persembahan.
Untuk rekod, sukan tarian dewan dansa atau tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu Standard yang melibatkan disiplin tarian yang terdiri daripada Waltz, Tango, Foxtrot, Viennese Waltz dan Quick Step, manakala disiplin Latin menampilkan tarian Cha Cha, Samba, Rumba, Jive dan Paso Doble.
Selain tuan rumah Malaysia, kejohanan BOIDC 2024 turut disertai seramai 1,992 peserta dari 16 negara lain seperti China, Singapura, Perancis, Moldova, Korea, Chinese Taipei, Indonesia, Hong Kong, Macau, Mongolia, Filipina, Uzbekistan, Sepanyol, Kazakhstan, Itali dan United Kingdom.
Hadir sama, Ketua Pegawai Media TVS, Mohamad Sardon Zainal. -TVS