NEW YORK: Seorang jutawan hartanah mewah di Amerika Syarikat dan seorang peneroka laut merancang untuk mengembara dengan kapal selam bagi meneroka kapal Titanic. 

Ohio Larry Connor dan Patrick Lahey adalah pengasas bersama Triton Submarines yang mahu menaiki kapal selam untuk menyelam ke dasar laut dengan kedalaman 3,800 meter bagi melihat kapal karam di lautan Atlantik Utara itu. 

Connor adalah Pengerusi The Connor Group yang merupakan syarikat pelaburan hartanah di Dayton, Ohio.

Jurucakap syarikat milik Connor berkata, pelayaran yang dicadangkan hanya akan dilakukan sebaik sahaja sebuah kapal selam mendapat pengesahan sepenuhnya oleh sebuah organisasi marin. 

Katanya, tiada jangka masa ditetapkan untuk ekspedisi berkenaan. 

“Mereka merancang untuk menggunakan kapal yang digelar sebagai Triton 4000/2 Abyssal Explorer. ‘4000’ merujuk kedalaman meter yang boleh digunakan dengan selamat,” katanya lapor BBC. 

Connor memberitahu Wall Street Journal, yang pertama kali melaporkan ekspedisi Triton itu, mahu menunjukkan kepada dunia tentang keupayaan kapal selam miliknya. 

“Saya ingin menunjukkan kepada penduduk di seluruh dunia walaupun lautan sangat bergelora, namun ia boleh menjadi pengalaman indah dan menyeronokkan jika dilakukan dengan cara yang betul,” katanya.  

Mereka berdua berharap pelayaran itu berjaya dan menghidupkan semula minat terhadap ekspedisi tersebut. 

Tahun lalu, kapal selam yang dibina oleh syarikat swasta OceanGate meletup sehingga mengorbankan lima orang semasa perjalanan ke Titanic.

Nahas yang berlaku pada Jun 2023 itu meragut nyawa Ketua Eksekutif OceanGate, Stockton Rush, 61; ahli perniagaan Britain-Pakistan, Shahzada Dawood, 48 dan anaknya, Suleman, 19; ahli perniagaan Britain, Hamish Harding, 58 serta bekas penyelam tentera laut Perancis, Paul Henry Nargeolet, 77. 

OceanGate yang dibina daripada gentian karbon hanya diperakukan bagi perjalanan sehingga 1,300 meter sahaja, yang jauh dari kedalaman dasar laut menempatkan bangkai kapal Titanic.





Source link

Leave a Reply