KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu belia berani bersuara dalam pelbagai isu negara seperti kemanusiaan, rasuah, jurang kemiskinan dan alam sekitar berdasarkan prinsip dan nilai yang kukuh.

Beliau berkata masyarakat memerlukan generasi baharu dengan idea dan prinsip penuh bertenaga serta percaya kepada kebebasan, keadilan dan kemanusiaan yang boleh membawa kepada perubahan.

“Belia mesti bersuara dan memperjuangkan masalah dan kebimbangan kita seperti isu-isu kemanusiaan, penderitaan rakyat, kemusnahan alam sekitar serta rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Antarabangsa 2024 (iFUTURE 2024) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

iFUTURE 2024 dianjurkan buat julung kalinya oleh Kementerian Pendidikan Tinggi bermula hari ini hingga Ahad, sebagai usaha memastikan generasi pelapis pemimpin negara didedahkan dalam pelbagai isu nasional dan global.

Program melibatkan lebih 1,000 pemimpin mahasiswa tempatan dan antarabangsa dari 46 negara itu menyediakan wahana dan peluang kepada mahasiswa untuk menyerlahkan bakat kepimpinan, meningkatkan kualiti keilmuan, mengukuhkan keterampilan dan kemahiran pengucapan awam.

Sementara itu, Anwar berharap pelajar yang menyertai program itu dapat memanfaatkan peluang untuk bertukar-tukar pandangan dan ilmu pengetahuan.

“Jadi kongsilah ilmu, berinteraksi sebanyak mungkin, bertindak dengan bijak dan belajar sebanyak mungkin,” katanya.



Source link

Leave a Reply