Bekas pengerusi koperasi mengaku tidak bersalah minta suapan, pindah wang haram


ALOR SETAR: Bekas Pengerusi Koperasi Pembangunan Darulaman Kedah Berhad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini bagi berdepan dua pertuduhan rasuah dan satu pertuduhan pemindahan wang daripada aktiviti haram bernilai ratusan ribu ringgit yang didakwa dilakukan pada 2016 dan 2017.

Tertuduh, Mazlan Hashim, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah secara rasuah meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada nilai projek berjumlah RM9.7 juta daripada pengarah sebuah syarikat.

Wang rasuah bernilai RM970,000 itu sebagai dorongan untuk membantu syarikat berkenaan mendapatkan tender cadangan rekabentuk, membekal, membina, menguji terima dan mentauliah 1MWp Solar Farm & Green House di atas sebahagian daripada Lot 3375 Mukim Padang Kerbau, Sungai Tiang di Pendang dari Myangkasa Services Sdn. Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Tingkat 1, Susuran Sosenati, Pusat Perniagaan Sosenati di sini pada November 2016.

Dalam pertuduhan kedua, warga emas itu didakwa secara rasuah menerima suapan sebanyak RM274,608 daripada pengarah syarikat sama melalui akaun Affin Islamic Bank milik koperasi itu sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan tender. Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 19 Januari 2017 di Affin Islamic Bank Berhad, Cawangan Alor Setar.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM265,000 daripada akaun koperasi berkenaan ke akaun Affin Islamic Bank Berhad miliknya.

Sehubungan itu, dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan tersebut dilakukan, atau RM5 juta bergantung yang mana lebih tinggi.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Ezlin Yusop Khan Maziah Mohaidee manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Zaharudeen Harun.

Tertuduh sebelum ini turut berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan dikenakan jaminan RM30,000 selain perlu menyerahkan pasport dan dikehendaki melapor diri di pejabat SPRM Shah Alam.

Sehubungan itu, Hakim Rohatul Akmar membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang mencadangkan ikat jamin serta syarat sama digunakan dalam pertuduhan hari ini termasuk kes turut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam. -UTUSAN





Source link

Leave a Reply