AMSTERDAM, 8 Oktober-Bekas pemain tengah Belanda, Johan Neeskens yang dianggap antara pemain tengah terhebat generasinya meninggal dunia pada usia 73 tahun.
Persekutuan Bola Sepak Diraja Belanda (KNVB) menegesahkan berita pemergian bekas bintang Belanda itu pada Isnin.
“Kata-kata selamat tinggal tidak mampu diungkapkan kepada ahli sukan berbakat sepertinya.
“Seorang yang sangat mencintai bola sepak dan bersemangat tinggi,” jelas KNVB.
Neeskens dilaporkan jatuh sakit ketika mengendalikan projek bersama KNVB iaitu WorldCoaches sebagai duta di Algeria.
Namun, punca dan sebab kematian tidak didedahkan KNVB.
Sepanjang karierenya sebagai pemain, Neeskens merupakan sebahagian daripada pasukan Belanda yang tewas di perlawanan akhir Piala Dunia pada tahun 1974 dan 1978.
Pada tahun 2004 beliau dinobatkan sebagai salah seorang daripada 125 Pemain Bola Sepak Terbaik Dunia oleh FIFA.
Beliau membuat 49 penampilan untuk skuad kebangsaan Belanda.
Neeskens menghabiskan sebahagian besar kerjayanya di Ajax Amsterdam, menyaksikan beliau memenangi Piala Eropah tiga musim berturut-turut dari 1971 hingga 1973, dan di Barcelona, di kedua-dua kelab bersama rakan senegaranya, Johan Cruyff.
Selepas bersara, beliau menjadi penolong jurulatih pasukan kebangsaan Belanda pada Piala Dunia 1998 menyaksikan pasukan tersebut menduduki tempat keempat. Beliau kemudiannya bekerja di bawah kendalian Frank Rijkaard di Barcelona.
Beliau turut pernah menjadi ketua jurulatih di kelab Afrika Selatan, Mamelodi Sundowns, yang merupakan jawatan terakhirnya dalam bola sepak profesional pada tahun 2012.-REUTERS.