CYBERJAYA: Kementerian Komunikasi akan mengambil tindakan terhadap beberapa platform media sosial, susulan beberapa aspek buli siber yang berlaku sebelum ini, kata menterinya Fahmi Fadzil.
Beliau berkata pada pandangannya platform terbabit tidak begitu serius dalam menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi rakyat Malaysia.
“Saya tidak rasa mereka mengambil kisah…jadi cukuplah. Kita akan hantar satu mesej yang sangat keras dan jelas kepada platform-platform ini. Nantikan,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di sini, hari ini.
Fahmi berkata keputusan tersebut dibuat hasil perbincangan dengan tiga kementerian lain iaitu Kementerian Digital, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
Beliau juga berkata kementerian tersebut bekerjasama untuk meneliti antara tiga hingga empat perkara.